Sektor kesihatan bakal lumpuh, kerajaan Malaysia sudah tidak mampu menanggung perkhidmatan percuma rakyat.
Malaysia mempunyai sistem penjagaan kesihatan dua peringkat yang cekap iaitu sektor penjagaan kesihatan yang dikendalikan oleh kerajaan berfungsi seiring dengan sistem penjagaan kesihatan swasta.
Tidak disangkal negara kita ini menjadi perhatian malahan pilihan utama bagi pesakit asing atau terma mereka adalah pelancong penjagaan kesihatan. Majoriti mereka dari Indonesia, China, India, Bangladesh, Jepun serta Amerika Syarikat. Selain kos rawatan yang jauh lebih murah serta perkhidmatan mesra pelanggan merupakan faktor utama mereka memilih Malaysia sebagai destinasi untuk rawatan kesihatan.
Tahukah anda, Malaysia banyak merangkul pelbagai anugerah seperti Kepimpinan Cemerlang dalam Perjalanan Penjagaan Kesihatan di Asia Pasifik yang telah disampaikan di Anugerah Pelancongan Penjagaan Kesihatan dan Perubatan Asia Pasifik (2021). Sistem kesihatan negara juga merupakan antara yang terbaik di dunia. Malaysia merupakan antara negara di dunia yang masih memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan percuma di klinik malahan di hospital juga. Kos ubatan diserap oleh kerajaan melalui pencukaian.
Di Malaysia, bukan sahaja warganegara mendapat perkhidmatan mesra dan cekap malahan warga asing serta pekerja asing juga diberikan rawatan termasuk kes kecemasan. Ini menunjukkan Malaysia mempunyai sistem kesihatan yang sangat baik.
Namun, baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bahawa kerajaan bergelut untuk mengekalkan sistem penjagaan kesihatan percuma untuk rakyat Malaysia. Tambah beliau lagi, dilema ini bukan sahaja dialami oleh Malaysia , ia turut juga menimpa United Kingdom. Isu utama adalah kerajaan perlu berdepan peningkatan kos dan demografi menua di negara ini.
Setelah sekian lama, kita disediakan dengan perkhidmatan kesihatan yang murah dan cekap. Sekarang ini, kita perlu dan mesti bersedia untuk sebarang kemungkinan perbelanjaan meningkat dalam sektor kesihatan. Keutamaan adalah untuk kita memastikan ahli keluarga kita disediakan dengan pelan kesihatan yang mampan iaitu melalui caruman bulanan pada insurans kesihatan. Percaya atau tidak, lama kelamaan kerajaan Malaysia terpaksa menaikkan caj perkhidmatan kesihatan yang sebelum ini RM 1 (ini pun kadang2 kita tak bayar) kepada mungkin RM 10. Caj ubatan juga mungkin kita perlu bayar separuh disebabkan kerajaan sudah tidak mampu menanggung kos tersebut.
Namun, saya pasti kerajaan cerdik dan sudah memikirkan cara untuk memastikan kelangsungan sistem kesihatan negara yang efisien serta mampu untuk semua rakyat. Kerajaan perlulah memikirkan cara proaktif dan tuntas agar polemik ini tidak berpanjangan sehingga menyebabkan pelabur lari. Hal ini pula akan menjejaskan pekerjaan dan pendapatan kerajaan masa hadapan.
Kerajaan juga tersepit, untuk mengekalkan perkhidmatan kesihatan percuma ini memerlukan jumlah wang yang sangat banyak. Berpuluh bilion diperlukan untuk menanggung segala kos. Namun seperti kita maklum, kerajaan kini kekurangan pendapatan. Mungkinkah cukai baharu akan diperkenalkan ? Hal ini juga akan menyebabkan rakyat terus dalam bebanan. Kesan dari cukai sudah semestinya harga barangan akan meningkat. Kerajaan tidak boleh dan tidak mampu untuk memberikan subsidi secara berterusan.
Mungkinkah kerajaan terpaksa mewujudkan bon kesihatan? Saya fikir, kerajaan perlulah mengadakan pertemuan dua mata dengan syarikat gergasi farmasi dengan lebih kerap untuk membincangkan serta mendapatkan kelebihan untuk sektor kesihatan Malaysia. Isu monopoli pasaran ubat-ubatan juga haruslah ditangani. Menarik pelbagai pelabur untuk membina fasiliti kesihatan di Malaysia juga antara cara yang bakal memberikan impak positif kepada rakyat.
Diharapkan isu ini terus dibawa ke Parlimen dan langkah-langkah proaktif serta keputusan yang wajar dapat didengar oleh rakyat Malaysia. Isu kos sara hidup sudahpun menjadi bebanan jika ditambah pula dengan kos kesihatan akan menjadi satu bencana yang sangat mengerikan bagi rakyat.
Rakyat mengharapkan kerajaan di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim mampu untuk memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan terus diberikan secara percuma untuk Malaysia Madani.